ASPEK PENGURUSAN BILIK DARJAH

Konsep Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah merupakan perkara penting yang mesti dilakukan oleh guru bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah berjalan dengan lancar dan berkesan. Antara aspek yang penting dalam pengurusan bilik darjah ialah menyusun atur kedudukan dalam bilik darjah dan mewujudkan interaksi dalam kalangan guru dan murid. Pengurusan bilik darjah yang berkesan dan teratur dapat membantu guru menyampaikan pengajaran serta membantu murid memahami pengajaran dengan baik.
            Menurut Mook Soon Sang (2011), pengurusan bilik darjah ialah proses pembentukkan suatu alam pembelajaran serta usaha untuk mengekalkannya persekitaran kondusif untuk pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang ditetapkan tercapai. Proses ini melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memupuk sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri (Noraini Idris, 2009). Menurut Bosch (2006) pula, pengurusan bilik darjah merujuk kepada cara guru dan murid bekerja, bekerjasama dan bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku
       Pengurusan bermaksud perihal mengurus sesuatu atau perihal mengurus syarikat, badan perniagaan dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002). Sementara itu, bilik darjah merupakan ruang atau bilik yang menunjukkan berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran.  Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah adalah perihal mengurus satu bilik bagi melaksanakan proses penyampaian dan penerimaan ilmu.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah
Terdapat dua faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah:
  1. Faktor Fizikal 
  2. Faktor Psikososial
Faktor Fizikal
Menurut Kamarudin Hj. Husin et.al dalam Pedagogi Asas Pendidikan (2014), suasana dan persekitaran fizikal bilik darjah yang menarik  dan kondusif akan dapat meningkatkan kuasa dan sumber pengajaran guru. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi, meja, buku rujukan, bakul sampah, papan tulis, dan lain-lain akan membantu mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Faktor Psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosial. Ciri-ciri persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah adalah seperti berikut:
  1. Suasana selesa dan mesra.
  2. Bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal.
  3. Suasana yang merangsang pembelajaran.
  4. Menggalakkan pembelajaran koperatif.
  5. Sensitif dan peka kepada perbezaan individu.
Faktor yang Mempengaruhi Persekitaran Psikososial
Terdapat dua faktor yang mempengaruhi persekitaran psikososial:
  1. Gaya Kepimpinan Guru
  2. Komunikasi dan Corak Interaksi 
Gaya Kepimpinan Guru:
i) Kepimpinan Autokratik
Guru mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman serta menekan murid yang membuat kesilapan.Contohnya, setiap kali murid membuat kesilapan, guru akan memarahi murid tanpa bertolak ansur. 
      Guru jenis kepimpinan ini akan mewujudkan suasana pembelajaran yang tertekan dan suasana kelas yang tidak kondusif. 

ii) Kepimpinan Demokratik 
Guru akan berkongsi tanggungjawabnya dengan murid. Contohnya, guru akan membantu dan mendorong murid menyelesaikan masalah dan persoalan semasa proses pembelajaran. Guru jenis kepimpinan demokratik lebih baik, mengambil berat, mesra dan tegas. Guru jenis kepimpinan ini juga sering memberi galakan kepada murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 
       Kepimpinan jenis ini akan menyebabkan suasana pembelajaran dalam bilik darjah menjadi lebih menyeronokkan. 

iii) Kepimpinan Laissez-Faire 
Guru akan membuat kerja sendiri dan memberi kebebasan kepada murid tanpa batasan. Murid-murid akan diberi kebebasan untuk melakukan kerja mereka masing-masing.Kepimpinan jenis ini akan menyebabkan keadaan bilik darjah menjadi kucar kacir dan suasana bilik darjah yang tidak kondusif. 

RUTIN BILIK DARJAH

Konsep Rutin
Rutin bilik darjah adalah aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik dapat  membentuk persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Jenis-jenis Rutin: 
Rutin Kelas (bukan akademik)
Guru berperanan mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya adalah mengurus kebersihan bilik darjah, seperti menyapu lantai, menyusun kerusi dan meja serta membentuk jadual bertugas murid.

      ii.            Rutin Pentadbiran
Guru juga berperanan sebagai pentadbir murid. Guru perlu mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram di samping dapat menjimatkan masa. Contohnya adalah mengambil kehadiran murid, memungut yuran, menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod kesihatan murid.

    iii.            Rutin Pergerakan Murid
Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang lain. Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains Rumahtangga. Contohnya adalah murid bergerak dari aktiviti dalam ke aktiviti luar dan kelas ke makmal komputer.

    iv.            Rutin Pengurusan Tugasan
Rutin ini adalah tentang persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran serta  membina pusat aktiviti. Guru perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan untuk memastikan kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
      v.            Rutin Pembelajaran
Rutin ini berlaku pada setiap hari dan membantu menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya adalah memungut buku latihan, menanda latihan, mengagihkan sumber dan buku.

    vi.            Rutin Interaksi
Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah mengutamakan aktiviti yang berfokuskan murid. Interaksi antara murid dengan murid serta murid dengan guru adalah digalakkan. Murid perlu tahu cara untuk bertanya atau menjawab, perkara yang diharapkan semasa PdP berlaku, semasa perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain. Contohnya ialah latihan amali di makmal dan aktiviti kumpulan seperti main peranan dan perbincangan.

Disiplin Bilik Darjah
            Konsep Disiplin
     Disiplin merujuk kepada  peraturan-peraturan yang dikenakan kepada para pelajar. Tujuannya adalah untuk mengawal tingkah laku pelajar melalui hukuman atau ganjaran. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan sistematik, teratur, dan lancar tanpa sebarang gangguan.
.         Jenis-Jenis Disiplin
     (i) Disiplin Arahan Guru
Guru bertanggungjawab untuk menentukan peraturan-peraturan bilik darjah dan memastikannya sentiasa dipatuhi oleh murid-murid dalam bilik darjah. Contohnya, menentukan peraturan-peraturan, mengawal murid-murid supaya mematuhi arahan, menghukum murid yang melanggar disiplin. Guru mempunyai ciri autokratik, iaitu guru mempunyai kuasa yang mutlak atas kawalan, arahan, pengurusan, dan hukuman berlandaskan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
(ii) Disiplin Arahan Kerja
Disiplin arahan kerja diwujudkan apabila sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru perlu diselesaikan oleh murid dalam tempoh masa yang ditetapkan. Disiplin jenis ini dibentuk berlandaskan keperluan dan tanggungjawab serta kebaikannya untuk murid-murid mematuhi arahan dan menyempurnakan tugasan mengikut jadual. Disiplin arahan kerja ini mempunyai ciri motivasi yang positif kerana disiplin jenis ini dapat menggalakkan murid menyelesaikan tugasan untuk kebaikan dan kepentingan sendiri.
(iii) Disiplin Arahan Kumpulan
Disiplin arahan kumpulan diwujudkan antara ahli dinamika kumpulan yang sedia ada atau dalam pembentukan berbagai-bagai kumpulan dengan tujuan menjalankan sesuatu aktiviti. Contoh aktivitinya ialah, semasa sekumpulan murid menjalankan aktiviti penggayaan atau melaksanakan sesuatu kerja projek. Dalam aktiviti tersebut, tugas kawalan disiplin murid biasanya diserahkan kepada ketua kumpulan mereka. Di bawah kawalan ketua kumpulan, murid-murid dapat melaksanakan aktiviti kumpulan secara sistematik,dan teratur.
(iv) Disiplin Arahan Diri
Disiplin arahan diri bermaksud keadaan yang membuat murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditentukan tanpa dikenakan denda atau diberi ganjaran. Disiplin arahan diri ini biasanya boleh diwujudkan secara tidak sedar apabila murid-murid telah mencapai tahap kematangan, iaitu boleh berfikir secara rasional. Disiplin jenis ini boleh dipupuk melalui latihan dan bimbingan guru seperti menerangkan kepentingan dan kebaikan mematuhi peraturan-peraturan sekolah kepada murid, menyerapkan nilai-nilai murni seperti keadilan, hormat-menghormati hak orang lain, timbang rasa, toleransi dan kerjasama dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum. 

Punca Masalah Disiplin Di Dalam Bilik Darjah
Menurut Mok Soon Sang (1997), berbagai-bagai masalah disiplin berlaku di sekolah pada hampir setiap hari persekolahan. Antara punca masalah disiplin termasuk:
Ø  Penggunaan pendekatan dan strategi yang kurang sesuai.
Murid-murid kebosanan, guru telah gagal menyediakan aktiviti yang menarik, mencabar dan sesuai dengan tahap pencapaian pelajar.
Ø  Pelajar tidak mampu menyiapkan kerja yang diberi oleh guru kerana terlalu sukar, kurang jelas dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai serta tempoh masa bagi aktiviti adalah terlalu lama
Ø  Pengurusan guru adalah lemah, contohnya bahan bantu visual tidak berfungsi dan terlalu banyak halangan yang mengganggu kelancaran pengajaran
Ø  Keliru dengan ekspektasi guru, guru tidak memberitahu secara jelas dan eksplisit tentang apa yang diinginkan daripada pelajar.
Ø  Interaksi rakan sebaya, perbualan atau tingkah laku tidak diingini dan gangguan dari luar sekolah kedengaran dalam bilik darjah
Ø  Harga kendiri akademik rendah, dimana murid kurang yakin pada diri sendiri.

Jenis-jenis Masalah Disiplin
Kategori Masalah Disiplin

Jenis-jenis Masalah Disiplin

Jenayah

Merosakkan harta benda sekolah, mencuri, berjudi, berlawan,
memeras ugut, menyertai kongsi gelap, menyalahgunakan dadah, menumbuk guru, bergaduh, membaca atau melukis gambar lucah.
Kelakuan negatif


Berambut panjang, memakai selipar dan stoking berwarna, baju T, berkuku panjang, menghisap rokok, bercakap kasar, berbual-bual dengan dialek, tidak menghormati guru, makan dalam bilik darjah, membuat bising, membuli murid yang lemah, tidak membawa buku, tidak membuat tugasan, menentang arahan guru
Membolos

Ponteng kelas, ponteng sekolah, ponteng aktiviti kokurikulum, datang lambat ke sekolah, makan di kantin semasa waktu pelajaran, lewat ke perhimpunan, berkhayal atau tidur di dalam bilik darjah

Menipu

Meniru dalam ujian atau peperiksaan, menyalin kerja murid lain, tidak menghantar buku latihan untuk diperiksa, menyalin kerja murid lain, tidak menghantar buku latihan untuk diperiksa, menulis dan menandatangani sendiri surat ibu bapa, menandatangani sendiri buku kemajuan, bercakap bohong, berpura-pura sakit.

Cara-cara Menangani Masalah Disiplin di dalam Bilik Darjah
Tiga cara menangani masalah disiplin akan dibincangkan secara ringkas iaitu
amaran konstruktif, hukuman dan pencegahan salah laku.
(a) Amaran Konstruktif
Amaran ini digunakan apabila tingkah laku yang tidak diingini mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun keberkesanan tindakan ini bergantung kepada apa yang diperkatakan dan cara bagaimana ia disampaikan.
Baca dan teliti prosedur amaran seperti berikut.
v  Dapatkan perhatian pelajar dan tegaskan bahawa ini adalah satu amaran
v  Jelaskan tingkah laku yang diingini secara eksplisit
v  Jelaskan tindakan yang disediakan bagi pelajar yang tidak memberi kerjasama
v  Amaran perlu ringkas
v  Teruskan pengajaran serta memberi pujian kepada pelajar yang memberi kerjasama
v  Beri pujian kepada pelajar yang bermasalah apabila ia menunjukkan perubahan tingkah laku
v  Beri pelajar hanya satu amaran sahaja

(b) Hukuman
Respons yang seringkali diberikan kepada tingkah laku negatif merupakan satu hukuman. Respon berbentuk negatif merangkumi tindakan tatatertib seperti amaran lisan, mengherdik dan memaparkan nama serta salah laku pelajar. Hukuman ialah seperti menarik balik keistimewaan, mengasingkannya dari pelajar lain, memecat pelajar dari jawatan yang disandang, menambah beban tugas, digantung persekolahan dan sebagainya. Hukuman mungkin menimbulkan kesan-kesan negatif kepada pelajar. Hukuman mungkin menghalang pembelajaran (Englander, 1986), gagal mendidik pelajar cara-cara mempelbagaikan tingkah laku dan mungkin juga tidak dapat menghasilkan perubahan pada tingkah laku. (Emmer & Aussiker, 1987).

(c) Pencegahan Salah Laku
Salah satu daripada faktor yang penting dalam pengurusan bilik darjah ialah keupayaan guru mencegah salah laku pada peringkat awal sebelum ianya menjadi satu isu yang serius. Terdapat beberapa langkah bagi mencegah salah laku pelajar seperti berikut.

·         Memahami Dinamika Bilik Darjah
Semua tingkah laku membawa makna sosial yang hanya dapat difahami dalam konteks social tertentu. Adalah penting bagi guru menangani masalah tingkah laku dengan melibatkan semua pelajar dari kelas tersebut. Dengan memerhatikan perhubungan pelajar dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain dapat membantu anda mencari punca dan matlamat masalah tingkah laku yang ditunjukkan dan bagaimana rakan sebayanya dapat sama-sama menyelesaikan masalah ini. Adalah penting untuk anda mengetahui bahawa, rakan sebaya dapat mempengaruhi atau membendung tingkah laku dengan lebih berkesan dibandingkan dengan guru sendiri. Memahami dinamika bilik darjah merupakan kemelut bagi sebarang langkah pembetulan untuk menangani masalah pelajar.

·         Pengajaran Berkesan Mencegah Masalah Disiplin Di Dalam Bilik Darjah
Kebanyakan masalah disiplin dalam bilik darjah timbul adalah berpunca daripada pengajaran dan aktiviti pengurusan bilik darjah yang tidak berkesan. Strategi pengajaran yang tidak terurus dan penggunaan bahan bantu mengajar yang tidak berkesan akan menyebabkan murid hilang minat dan bertukar kepada tingkah laku bermasalah. Guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran dengan sistematik, menggunakan kaedah dan teknik berpusatkan pelajar untuk menarik perhatian dan melibatkan mereka dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahan bantuan mengajar perlu dapat merangsang minat pelajar terhadap pembelajaran.

·         Susun Atur Tempat Duduk
Sebagai seorang guru, anda bertanggungjawab untuk menyusun atur tempat duduk pelajar anda. Atur tempat duduk supaya membolehkan anda memerhati dan memudahkan pergerakan untuk mendekati pelajar. Buat kontak mata dengan pelajar sama ada semasa pengajaran atau apabila berkomunikasi dengan kelas atau pun dengan individu.

·         Prihatin terhadap pelajar
Adalah penting untuk anda membuat tinjauan seluruh bilik darjah dari masa ke semasa untuk memerhatikan sama ada pelajar mengalami masalah dengan tugasan mereka atau memerlukan bantuan anda. Jika keadaan ini berlaku, beri sokongan anda supaya mereka akan teruskan dengan kerja masing-masing. Guru juga perlu menunjukkan keprihatinan terhadap perkembangan pelajar sama ada besar atau kecil. Di sini jelas diperhatikan bahawa sentuhan peribadi adalah lebih berkesan berbanding dengan memanggil nama pelajar.

·         Mengurus disiplin.
Selain keberkesanan persekitaran positif yang dicipta, dan implimentasi pelbagai teknik pengajaran dalam bilik darjah, terdapat tingkah laku mengganggu murid yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, guru perlu mempunyai satu himpunan kaedah yang baik untuk mengurus disiplin dalam bilik darjah:
i. Urus rutin bilik darjah dengan berkesan.
ii. Bina hubungan rakan sebaya yang sihat melalui aktiviti kolaboratif dalam dan luar bilik darjah.
iii. Bina persekitaran pembelajaran yang boleh memberi sokongan dan pertimbangkan perbezaan individu murid dalam situasi pengajaran dan pembelajaran.
iv. Ingatkan murid tentang akibat salah laku.
v. Wujudkan perhatian dan motivasi dalam bilik darjah.
vi. Libatkan murid dalam aktiviti pengajaran.
vii. Amalkan pengurusan masa yang bijak dan uruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan cekap dan berkesan.

Mempraktik strategi Disiplin yang sesuai
Ramai guru mendapati isu mengekalkan strategi disiplin yang sesuai untuk mengurus tingkah laku bermasalah mengambil masa yang lama dan adakalanya mengecewakan. Mari kita lihat beberapa kemahiran penyelesaian masalah dalam bentuk yang lebih positif dan cepat:
*      Mesra, peribadi dan rela mendampingkan diri dengan murid.
*      Uruskan tingkah laku spesifik yang terkini.
*      Bantu murid membuat penghakiman nilai tentang tingkah lakunya.
*      Buat perancangan untuk perubahan tingkah laku.
*      Dapatkan komitmen murid untuk menjalankan rancangan tersebut.
*      Buat tindakan susulan untuk melihat keberkesanan perancangan tersebut.
*      Jangan menghukum murid dengan bersikap negatif dan jangan terima alasan-alasan jika tingkah laku yang tidak sesuai masih berterusan.

Kesimpulan
Ekoran dari perkembangan dunia pendidikan era ini, peranan dan tugas guru dalam mengurus bilik darjah semakin mencabar. Seorang guru yang bertindak sebagai pengurus bilik darjah efektif akan berusaha mempertingkatkan serta melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengurusan yang berguna agar dapat menerajui bilik darjah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Pengurusan bilik darjah masa kini adalah kompleks kerana melibatkan aspek pengurusan serta pengajaran dalam satu masa yang sama. Di sekeliling guru adalah masyarakat yang sentiasa melihat pekembangan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, melalui anak-anak mereka. Justeru, seorang guru mesti memastikan pencapaian akademik pelajar khususnya berada pada tahap yang cemerlang dan membanggakan.  

Cadangan
Justeru, diharapkan agar guru serta bakal-bakal guru tahu tentang peranan mereka serta amalan seharusnya dipraktikkan dalam usaha mengurus bilik darjah masa kini secara berkesan serta membentuk satu persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif di sekolah. Guru wajar mengamalkan tahap pengurusan bilik darjah tertentu yang dirasakan paling sesuai sebagai usaha menjadikan pelajar seronok berada di dalam kelasnya dan berjaya menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Bibliografi
Emmer, E. T., and Aussiker, A. (1987). School and classroom discipline programs:  HowWell Do               They Work?" In Oliver C. Moles(ed). Strategies to Reduce  Student Misbehavior. Washington,              DC: Office of Educational Research and      Improvement.
Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi 1: Kurikulum dan Pengurusan Bilik Darjah.     Selangor:                        Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.



    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan